Monday, July 5, 2010

Menuju Kematangan Diri

Assalamualaikum....w.b.t
Allah yang maha Pengasih lagi maha Penyayang

Tatkala ini, jam 3.00 pagi. aku masih belum mahu lena, dihimpit kerja yang semakin hari semakin banyak. Insyaallah, masa yang Allah berikan, pergunakanlah dengan sebaik mungkin.

Mula semester ini aku baru mahu merasai kehidupan berdikari, berbanding rakan-rakan lain. Hati terasa berat, namun setiap keputusan yang dipilih ada pro dan ada kontranya. Tinggal di rumah sewa, tiada siapa yang akan mengawal diri kita melainkan diri kita sendiri. Itulah yang paling aku takutkan, tapi tika umur sudah mencecah 22 tahun...sudah sampai masanya untuk aku belajar menjalani kehidupan yang lebih mematangkan aku.

Belajar untuk menguruskan diri, waktu lapang, wang poket, keadaan rumah, hidup bermasyarakat. Itulah yang aku perlu tekankan buat diri. Mak Ayah jauh, cuma nasihat yang mampu mereka sampaikan.

Aku orang kampung, terbiasa dengan kehidupan kampung dan hidup bermasyarakat. Mak sangat menekankan hidup bermasyarakat dan saling membantu. Jemputan kenduri, sebolehnya pergi. Jangan hidup seolah-olah kita tak perlukan orang lain. Kata mak "cuba bergaul dengan jiran walaupun kita ni muda, duit tu jimat-jimat sebab kita ni bukannya orang kaya, pandai-pandai la jaga diri, ngaji quran, surau tu jangan lupa". Itulah pesanan mak sebelum aku pulang ke maktab. Insyaallah mak, anakmu ini sedang berdikari. Biarkan dia belajar dari kehidupannya.


Sempat menghadiri majlis kenduri bercukur di rumah jiran


Si comel, anak jiran


Lepas ni aku akan sibuk dengan praktikum. Pengurusan masa, itulah yang paling aku takutkan. Ramai yang merungut masa tak mencukupi, semuanya terikat gara-gara praktikum. Aku tidak terkecuali dikejar dengan lambakan kerja, RPH, buat ABM, dan macam-macam lagi. Cuma, aku mengharapkan agar kehidupan dunia dan akhirat aku biarlah seimbang. Ya Allah, hamba-Mu ini mencari keredhaan atas tiap kelapangan yang engkau berikan. Berkatilah masa dan rezeki yang Engkau kurniakan. Moga aku menjadi manusia yang melakukan kerja dengan niat untuk beribadah kepada-Mu. Amin ya Rabb

Sunday, June 13, 2010

Dia pergi dulu

Hati mana yang tidak terusik tatkala sahabat karib dijemput Allah s.w.t terlebih dahulu sebelum diri. Pergi meninggalkan aku untuk selama-lamanya. Hanya kenangan yang masih tersemat di kotak fikirian. Itulah yang aku alami ketika musim cuti sekolah ini. Saat gembira bertukar sedih hanya dengan sekelip mata. Sahabat karib dan sememangnya rapat sejak zaman sekolah dahulu yang telah pulang ke rahmatullah Isnin lalu bertarikh 13/06/2010 pada jam 9.00 pagi akibat kanser limfa. Moga rohnya dicucuri rahmat di sana…Amin.

Teringat sebulan sebelum arwah pergi, aku sempat melawatnya. Ternyata dirinya kelihatan berbeza dari sebelum ini. Wajah yang dulunya ceria tak lagi kelihatan. Yang kelihatan hanyalah sekujur tubuh yang lesu, kurus dan tidak bermaya. Sungguh Allah menyayangi dirinya. Diuji dengan penyakit yang pada pandangan aku terlalu perit untuk dilalui. Tapi bagi dirinya, itulah sebagai kifarah dosa-dosa. Saat kematiannya, wajahnya tenang. Sekujur tubuh kaku itulah yang pernah menjadi peneman tatkala kesunyian dan sama-sama berjuang menempuhi peperiksaan SPM. Kini, pergi meninggalkan aku untuk selama-lamanya..

Kawan-kawan, jika ditanya pada ketika ini dan saat ini “Adakah bersedia jika malaikat Izrail datang untuk mencabut nyawa kita?” apa jawapan yang akan diberikan. Aku sendiri masih terkapai-kapai mencari jawapannya. Amalan aku bagaimana?belum cukup. Sedekah aku bagaimana?hmm…entahlah. Hanya Allah sahaja yang tahu. Tapi bila Allah s.w.t menetapkan saat kematian kita, tidak akan awal atau lewat walau sesaat pun. Kita sendiri yang menetapkan sama ada buku amalan kita akan diterima dengan tangan kanan ataupun tangan kiri. Beruntunglah pada sesiapa yang beroleh buku amalannya dengan tangan kanan. Redha Allah akan sentiasa mengiringi…Jadi, sama-samalah kita reflect balik amalan kita. Peringatan untuk diri dan kawan-kawan juga.


Sekadar gambar hiasan

Dan disini ingin disentuh sedikit megenai saat-saat kematian dan adab-adab yang boleh kita lakukan bila menziarahi orang sakit dan kematian.
Tanda-tanda kematian

Antara tanda-tanda kematian yang biasa dikhabarkan oleh mereka yang arif dan berpengalaman luas ialah:-

1. Layu atau jatuh kedua-dua telinga dan hidung sebelum nazak
2. Kedua-dua tumit kaki menjadi lembut
3. Hidung menjadi bengkok
4. Alis mata semakin hilang
5. kulit muka menjadi semakin tegang
6. Tulang pinggang rapat ke lantai
7. Keluar peluh dan air mata

Menurut Osman bin Affan , Rasulullah saw bersabda:-
“ Perhatikanlah orang itu menjelang wafatnya.Apabila kedua-dua matanya
terbeliak , dahinya berpeluh dan membesar dua lubang hidungnya, bererti
rahmat Allah telah turun.Tetapi apabila dia mendengkur seperti orang ter-
cekik, tubuhnya pucat , mulutnya bertambah lebar , bererti seksa Allah
telah turun kepadanya”

Tanda-tanda ajal sudah hampir

1. Putihnya rambut setelah berwarna hitam
2. Kelemahan tubuhmu setelah engkau kuat
3. Bongkok tubuhmu setelah engkau berbadan tegap

Adab-adab ziarah kematian

1. Apabila berlaku kematian hendaklah diucapkan takziah kepada ahli
keluarganya supaya bersabar dan mendoakan si mayat
2.Amat digalakkan sekiranya dapat membantu keluarga simati dengan
kerja-kerja pengurusan jenazah sehingga selesai di bawa ke tanah
perkuburan
3.Sentiasa berusaha membantu meringankan beban waris si mati.Contoh
nya dengan menyediakan makanan kepada keluarga si mati disebabkan situasi mereka yang berada dalam kesedihan dan kekalutan

Nazak

Bagi orang yang akan menguruskan orang yang berada dalam keadaan
Nazak, terdapat beberapa perkara yang perlu dilaksanakan.Diantara
Nya ialah:-

1. Sebuah keluarga perlu nertanggungjawab ke atas ahlinya yang sedang
nazak. Mereka perlu sentiasa berada di sisinya
2. Pastikan orang yang menguruskan jenazah ialah orang yang paling baik
baik amalannya dan lebih dalam pengetahuan agamanya atau berpenga-
laman, ini untuk mengelakkan mereka membuka aib si mati kepada masya-
rakat luar
3. Orang yang berada di sisi orang yang sedang sakit nazak , mesti men-
jaga segi pengucapannya.Sebaik-baiknya hal-hal berkaitan duniawi tidak
diceritakan langsung
4. Pastikan kedudukannya mengadap kiblat serta sentiasa diperdengarkan
bacaan Yaasin , al-Qur’an dan sebagainya
5. Orang yang berada berdekatan dengan orang yang sakit tadi supaya
mengelap keringat , membasahkan bibir orang yang sedang menghadapi
saat kematian

Perkara-perkara yang perlu dilakukan selepas meninggal dunia

1. Hendaklah dipejamkan(ditutupkan) matanya seraya mendoakan simati.
2. Hendaklah diluruskan kaki,diqiamkan tangan, diikatkan dagu serta mengadap kiblat sebelum ditutup seluruh tubuh dengan kain se-
bagai penghormatan kepada simati dan supaya tidak terdedah auratnya.
3. Tidak ada halangan untuk mencium si mati bagi ahli keluarganya
atau sahabat-sahabat yang rapat
4. Ahli keluarga mayat yang mampu hendaklah melunaskan segala
hutang piutang simati , samada menggunakan harta peninggalan
simati dengan pertolongan keluarganya.

Friday, May 28, 2010

Jodoh Hati adalah Hati

Assalamualikum w.b.t
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang…..

Ini kali kedua saya belajar untuk mem ‘post’ kan tulisan dalam blog. walaupun tak berapa nak reti tapi sikit-sikit belajar, lama-lama ok la….hehe. Sekurang-kurangya dapat saya berkongsi sedikit ilmu ataupun pengalaman kat sini yang mungkin boleh dijadikan panduan buat semua. Saya percaya bahawa setiap orang mempunyai bakat tulisan yang berbeza-beza. Ada yang mampu menyentuh hati hingga berderai air mata, ada juga yang mampu mentertawa dan menghiburkan seseorang melalui tulisannya….ada juga yang mampu menaikkan kemarahan seseorang. Tapi saya berharap diri saya bukanlah golongan yang ketiga tu.

Ketika saya terfikir nak tulis blog ni, saya baru sahaja melawat laman web islami yang mempunyai pelbagai artikel yang boleh dijadikan panduan terutamanya pada orang yang bergelar remaja seperti saya…ya, remaja…(remaja lagikah aku ni?hehe….perasan betul). Dewasa dah pun sebenarnya. Tapi jiwa remaja tu masih ada. Memandangkan baru-baru ni saya selalu diajukan soalan yang berkaitan soal hati bila sembang dengan kawan-kawan atau adik-adik, apa lagi kalau bukan CINTA. Ada yang kata saya ni macam dah berpunya, ada juga yang kata saya ni ‘single’ lagi kot. Tapi apa pun tafsiran mereka, biarlah saya dengan prinsip saya. Takut pun ada kalau nak cerita bab cinta ni, bukan apa silap hari bulan boleh disalah tafsir oleh sesetengah orang.




Perasaan cinta yang wujud dalam hati seseorang tu kadang-kadang hanya disebabkan nafsu. Boleh jadi sebab orang tu cun atau hensem, sebab tu kita pilihnya. Boleh jadi juga sebab harta. Ada kereta besar, anak orang kaya pulak tu. Boleh jadi juga sebab kita rasa sunyi, ingin berteman. Tapi sedarkah kita bahawa itu semua adalah permainan SYAITAN yang mengaburi mata anak-anak ADAM dengan duniawi. Apatah lagi jika kita bercinta hanya untuk berserononk-seronok tanpa ada niat untuk menjadikannya isteri atau suami. Bagi saya, saya percaya dan yakin bahawa Allah S.W.T telah menetap 3 perkara untuk kita yang tertulis di ‘Loh Mahfuz’ sana iaitu ajal, jodoh dan rezeki.

Bila ada yang bertanya, ‘kak, dah ada couple ke?’. Lama juga terdiam nak menjawab soalan budak seorang ni. Terus terang saya katakan ‘belum’. ‘Tapi awat nampak macam dah berpunya ja?…hehe’. Soalan diajukan juga saya jawab. Huh, penat nak melayan budak-budak ni. Saya tahu kadang-kadang orang menilai seseorang hanya pada luaran, pada pakaian yang dipakainya, pada perwatakan yang dipamerkannya dan macam-macam lagi. Walaupun saya bukanlah berpakaian seperti seorang ustazah mahupun berperwatakan alim, namun soal couple-bercouple ni saya rasa naik seram bulu roma. Bukan apa, saya terfikir macam mana kalau couple kita itu bukan suami atau isteri kita kelak?????apakah tidak kasihan pada orang yang menjadi suami atau isteri sebenar kita nanti. Fikirkanlah….

Allah S.W.T berfirman, “Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur':26). Jadi, menjadi tanggungjawab kita untuk meletakkan kita di tahap yang mana satu. Baik atau jahatkah aku??Anda sendiri yang tentukan….Ini peringatan buat diri ini juga yang kadang-kadang lalai dan alpa dengan kehidupan.  Jagalah hati kita sebaiknya kerana jodoh bagi hati adalah hati. Peringatan buat diri juga…..Sekian.

Friday, May 7, 2010

~Masih Mentah~



Pertama kali bumi ini diciptakan, katanya bumi in selalu bergoyang, bergoncang dan tidak berputar dengan stabil malah tidak berputar dengan paksiya. Perkara ini merunsingkan para malaikat lalu para malaikat menghadap Allah s.w.t....


"Wahai Rab Yang Maha Mengetahui, mengapa bumi ini bergoyang?"Tanya para malaikat.


"Kerana belum dipaku."Jawab Allah singkat.


"Lalu, bagaimana engkau memaku bumi wahai Rab?"tanya para malaikat lagi.


"Aku akan menciptakan gunung-ganang."Jawab Allah.


Setelah itu Allah terus , menciptkan gunung-ganang di berbagai belahan bumi. Apa yang terjadi adalah sememangnya benar setelah diciptakannya gunung-ganang, bumi pun kemudian berputar sesuai paksinya. maka kemudian gunung pun dikenali sebagai paku bumi yang cipitakan Allah s.w.t.


Paku merupakan benda keras yang terbuat dari besi. Setelah Allah menciptakan paku bumi iaitu gunung-ganang, kemudian para malaikat pun bertanya lagi.


"Ya Rab, adakah yang lebih kuat dari paku?


"Ada!" Jawab Allah. "Iaitu api, yang dengan panasnya dapat melelehkan besi."


"Adakah yang lebih kuat selain api, Ya Rab?"Tanya malaikat lagi.


"Ada!Yakni air yang dapat , memadamkan api. "Jawab Allah lagi.


"Jadi Ya Rabb, adakah yang lebih kuat lagi selain air?" Sambung malaikat.


"Ada! Iaitu angin, yang kerananya dapat membawa air ke mana pun ia menghembus." Jawab Allah lagi.


"Tapi ya Rab, adakah yang lebih kuat dari semua itu (gunung, api, air, angin)?" Malaikat bertanya lagi.


"Ada! Iaitu nafas hamba-Ku yang berdoa kepadaKu. Kerana sesungguhnya DOa itu mampu mengubah takdirku." Demikian Allah s.w.t. menjelaskan.


[hadis Qudsi]


~Begitulah perkongsian sebuah hadis pembuka selera santapan rohani buat pertama kali bagi diri yang masih mentah. Hidup di dunia yang serba moden dan berteknologi kini penuh dengan dosa-dosa kecil yang tanpa kita sedari memakan diri umpama api dalam sekam...Jadi inilah alternatif terbaik bagi diri ini untuk sentiasa memperingati dan memuhasabah diri walau dalam apa jua situasi. Ia juga berbentuk perkongsian ilmu bagi sama-sama memperbaiki diri. Moga apa yang disampaikan menjadi saham di akhirat kelak..Ameen....~~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...