Sunday, December 18, 2011

WAKTU ITU ADALAH UMURKU

Assalamualaikum w.b.t
Sudah lama empunya blog ini menyepikan diri dan membiarkan blog ini sunyi sepi. Dah tiba masanya untuk jenguk-jenguk kembali blog ini.


Pejam celik, pejam celik  rupanya sudah tamat pengajian selama 5 tahun setengah di Institut pendidikan Guru Malaysia kampus Ipoh. Masa yang berlalu tak mungkin akan dapat diulang kembali. Lantas 5 tahun setengah itu bukanlah satu jangka masa yang sekejap. Dahulunya usia baru mencecah 18 tahun dan bergelar remaja, kini usia bakal menginjak ke 24 tahun. Alam remaja bakal berlalu dan alam dewasa pula menjelma. Lantas diri terfikir, apa yang telah aku lakukan tatkala usia mencecah 24 tahun. Bagaimana amalku? Adakah telah mencukupi. Bagaimana pula ibadahku? Adakah Allah s.w.t menerimanya? Ilmu yang telah aku tuntut pula, dapatkah ia menjadi penolongku kelak. Hmm....hanya Allah sahaja yang mengetahui.

Sabda Rasulullah s.a.w : Hendaklah engkau berada dalam dunia seolah-olahnya engkau orang berdagang, atau orang yang sedang melalui di jalan (pengembara). Dan adalah Ibn ‘Umar radiyallahu ‘anh berkata: Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi dan apabila engkau berada di waktu pagi, janganlah engkau menunggu petang. Dan gunakanlah dari sihat engkau bagi masa sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau. Diriwayatkan oleh al-Bukhari.

Orang yang mengerti nilai waktu tidak akan membiarkan waktunya habis dengan percuma, tetapi dipenuhi dengan amal yang berguna. Kerana dia sedar waktu adalah umurnya. Habisnya bererti kurangnya umurnya dan kurang pula amalnya. Allah memberi kita 24 jam untuk dimanfaatkan. Adakan 24 jam yang telah Allah peruntukan kita gunakan dengan sebaik mungkin? Tambahan pula, ketika musim cuti sekolah terlalu banyak masa lapang kita terutamanya kepada murid, bakal guru, juga guru atau yang berkhidmat dalam bidang pendidikan. Tapi bagi yang berkerjaya selain dari guru memberikan alasan sibuk bekerja di siang hari, penat. Tidak mengapa. Tetapi berapa ramai antara kita yang niat pekerjaan yang dilakukannya itu adalah IBADAH. Mencari rezeki yang halal untuk isteri dan juga anak-anak di rumah. Atau kita sekadar bangun pagi, bekerja sehingga matahari terbenam dan menganggap itulah rutin harian yang kita lakukan saban hari. Jiwa kosong, penat lelah bekerja hanya sia-sia jika menjadikan pekerjaan itu sebagai jalan untuk memuaskan tuntutan fizikal kita. 
Jadi, tiba masa untuk kita kejutkan diri kita, apakah pekerjaan yang kita lakukan sehari-hari kerana Allah? Jika terdorong oleh faktor lain, ayuhlah ubahkan niat kita. Lakukan sesuatu itu tiada lain melainkan kerana Allah s.w.t. Dengan cara itulah, masa kita dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Bukan sahaja dalam konteks menguruskan masa dengan berfaedah malahan bonus tambahan jika niatnya kerana Allah. Dengan cara itu jugalah ibadah yang kita lakukan tidak dinamakan sia-sia.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...